Kawan-kawan setia

Ahad, 9 November 2008

Saranan JPJ: Pasang tangki NGV di bengkel bertauliah

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengingatkan pemilik kenderaan supaya mendapatkan khidmat bengkel bertauliah sebelum memasang peralatan tangki gas asli (NGV) pada kenderaan masing-masing. Ketua Pengarahnya, Datuk Solah Mat Hassan berkata, perbuatan terlalu berjimat dengan memasang sendiri peralatan NGV bukan sahaja boleh mengundang bahaya, bahkan menyebabkan kecederaan dan maut. "Jangan hendak jimat belanja dengan mencari pemasang NGV tanpa tauliah. Kita tidak mahu pemilik kenderaan memasang sendiri peralatan NGV kerana ia berbahaya kepada diri dan keselamatan orang lain". Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program JPJ Bersama Rakyat di Sekolah Kebangsaan Undang Rembau di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah JPJ negeri, Mohd. Kamal Saad.
Tambah beliau, pemilik kenderaan sepatutnya mempunyai kesedaran yang tinggi dan mencari bengkel yang diiktiraf serta memasang peralatan NGV mengikut peraturan.
"Pemasangan tangki NGV ini hendaklah mengikut peraturan ditetapkan dengan mendapatkan perkhidmatan di bengkel berdaftar dan lulus JPJ yang mempunyai sijil pemasangan," kata beliau.
Menurut Solah, pemilik kenderaan yang melanggar pematuhan syarat pemasangan NGV termasuk bengkel yang memasangnya boleh dikenakan tindakan tegas oleh JPJ.
Tegas beliau, JPJ boleh mengenakan tindakan mengikut kaedah kenderaan motor (pembinaan dan kegunaan 1959) di mana pemilik kenderaan yang gagal mengikut undang-undang ditetapkan JPJ boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
"Pemilik kenderaan yang telah memasang tangki gas NGV perlu membuat pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk memastikan pemasangan mengikut syarat dan piawaian ditetapkan JPJ.
"Ini adalah langkah keselamatan yang perlu diikuti oleh pemilik kenderaan bagi mengelakkan berlakunya letupan pada alat tersebut seperti mana yang berlaku sebelum ini," jelas beliau.
Dalam satu perkembangan, Solah berkata, buat masa ini terdapat 72 buah bengkel berdaftar yang menjalankan perkhidmatan pemasangan peralatan NGV.
"Kita akan menyenaraikan 72 bengkel berdaftar pada minggu hadapan di laman web http://www.jpj.gov.my kerana JPJ kini mempertingkatkan sistem maklumat untuk kemudahan orang ramai berurusan," ujar beliau.

Tiada ulasan: