Kawan-kawan setia

Sabtu, 1 November 2008

Saranan Lapor BPR jika berlaku rasuah dalam PKNS

SHAH ALAM -Pengurusan tertinggi dalam Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) perlu melaporkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dengan segera sekiranya terdapat penyelewengan dalam pembahagian kontrak hingga menyebabkan 75 peratus daripada projek yang dilaksanakan sebelum ini diberikan kepada bukan Bumiputera. Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak), Mohd Nazree Mohd Yunus berkata tindakan itu perlu dilakukan bagi mengetahui punca sebenar projek yang diuruskan PKNS untuk kemajuan Bumiputera diberikan dalam peratusan yang tinggi kepada bukan Bumiputera. "Ia adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan pihak yang paling hampir dengan pengurusan kewangan PKNS kerana jika tiada sebarang tindakan dibuat, ia akan menimbulkan prasangka dan pelbagai spekulasi yang akhirnya akan memberikan imej negatif terhadap PKNS. "Tambahan pula PKNS adalah sebuah anak syarikat milik kerajaan negeri yang ditubuhkan untuk membantu meningkatkan ekonomi Bumiputera, tindakan yang jelas tersasar dengan matlamat asal penubuhan syarikat itu perlu diteliti ketirisan yang berlaku itu," katanya ketika dihubungi semalam. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Isnin lalu yang kecewa dengan PKNS kerana sejak 44 tahun lalu tidak membanggakan dalam memartabatkan kaum Melayu apabila 75 peratus daripada projek yang dilaksanakan diberikan kepada bukan Bumiputera. Dalam kenyataan itu juga Abdul Khalid berkata akaun sedia ada PKNS tidak memberikan gambaran sebenar seperti dakwaan Pengerusi PKNS iaitu berjaya mengaut keuntungan RM 500 juta sedangkan didapati 50 peratus keuntungan tersebut berbentuk hasil pendapatan luar biasa. Kata Abdul Khalid lagi, turut diperlihatkan keputusan meragukan apabila PKNS menghadiahkan RM100,000 kepada bekas Pengerusi PKNS sebagai bonus terhadap kejayaan PKNS memperolehi keuntungan tersebut. Nazree dalam pada itu berkata, kelemahan dalam pentadbiran PKNS sebelum ini tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan individu bukan Bumiputera untuk menerajui PKNS kerana yang perlu diberi perhatian ketika ini ialah kualiti pengurusan PKNS itu sendiri. Oleh itu katanya, Kerajaan Negeri Selangor perlu mencari mekanisme terbaik supaya dapat memantau pentadbiran PKNS agar selari dengan usahanya untuk membantu meningkatkan ekonomi Bumiputera dan bidang perniagaan dan hartanah di Selangor khasnya. "Tanggungjawab untuk menerajui PKNS perlu diberikan kepada Bumiputera yang berkualiti dan amanah supaya tidak berlaku sebarang salah urus tadbir yang menyebabkan kerugian kepada syarikat." katanya.

Tiada ulasan: