Kawan-kawan setia

Khamis, 20 November 2008

Sayap baru PAS?


Jika tidak ada sebarang masalah, Muktamar PAS pertengahan tahun depan akan membincangkan pembentukan satu lagi sayap parti Islam itu. Ia akan dikhaskan untuk orang bukan Islam. Demikian kata Dr Mujahid Yusof Rawa selepas pulang dari retreat PAS di Langkawi kepada wartawan Siasah baru-baru ini. Berikut adalah hasil perbincangan Siasah dengan Mujahid.
PAS telah menang sebanyak 23 kerusi Parlimen dalam pilihan raya 2008 lalu. Sebahagian dari kerusi itu adalah hasil sumbangan undi orang bukan Islam terhadap PAS.
Kota Raja, Kuala Selangor, Titiwangsa, Pokok Sena, Parit Buntar dan beberapa kawasan Parlimen lagi adalah antara sumbangan mereka kepada PAS.
Dr Mujahid Yusof Rawa adalah antara pihak terlibat dalam usaha memujuk mereka memberikan undi kepada PAS. Melalui Lajnah Perpaduan Nasional yang dipimpinnya, Kelab Penyokong PAS ditubuhkan.
Menjelang pilihan raya lalu, kelab ini ditubuhkan di mana-mana. Berbondong-bondong orang bukan Islam, semada Cina atau India yang menyertai kelab ini. Bagi mereka, PAS adalah alternatif kepada Umno yang korup dan recist itu.
Namun, Mujahid mengaku, sokongan orang bukan Islam kepada PAS ini sedikit sebanyak terjejas dengan beberapa isu yang berlaku selepas pilihan raya umum. Ia bermula dengan apa yang dinamakan isu muzakarah Umno dengan PAS. Ia pula katanya dibuat atas kepentingan Melayu Islam. Kemudian isu itu berkembang ke PAS akan menyokong pembentukan kerajaan Pakatan di peringkat Pusat jika majoriti anggota Parlimennya adalah Melayu dan Islam.
Terakhir, isu perlantikan Low Siew Moi sebagai pemangku Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Penentangan PAS terhadap perlantikan itu dianggap kerana Madam Low adalah Cina.
"Saya sangat berbesar hati kerana ketika menggulung perbincangan tentang kertas yang saya bentangkan ini, Mursyidul Am Tok Guru Nik Aziz berkata, rancangan ini perlu dipercepatkan," cerita Mujahid kepada Siasah.
Mujahid menyatakan perkara ini ketika ditanya apakah respon pimpinan PAS terhadap kertas cadangan beliau agar satu dewan yang dikhaskan untuk orang bukan Islam dibentuk dalam PAS.
Mujahid membentangkan kertas cadangan agar satu Dewan dibentuk untuk membolehkan orang bukan Islam aktif secara rasmi dalam PAS di retreat PAS di Langkawi 7 ke 9 November lepas. Hampir 40 pemimpin PAS yang mengganggotai Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama menyertai retreat itu.
"Mereka ada antara 15,000 ke 20,000 orang yang aktif dalam kelab penyokong PAS ini. Namun sebagai ahli kelab, mereka tidak ada ruang untuk aktif yang jelas dalam parti. Jadi kita cadangkan agar kita tubuh satu sayap baru kepada PAS iaitu satu dewan untuk mereka. Namun, namanya belum kita muktamadkan lagi," kata Mujahid ketika ditemubual di pejabat pembangkang di bangunan Parlimen.
Ketika ditanya, apa respon pemimpin yang lain, Mujahid berkata, hampir kesemua mereka menyokong cadangan beliau itu. Hanya sebahagian kecil menimbulkan beberapa persoalan mengenainya, yang lain menyokong.
"Presiden PAS sendiri menganggap sudah tiba masanya PAS menerima orang bukan Islam ini sebagai ahlinya," cerita Mujahid.
Selepas ini, kata Mujahid, beliau akan menyediakan kertas pelaksanaan kepada cadangan ini. Beliau berharap, menjelang muktamar PAS tahun depan, semuanya sudah siap."Kita harap, dalam muktamar akan datang, para perwakilan dapat membahaskan cadangan ini dan seterusnya meluluskannya.
"Jika diluluskan muktamar, kita akan serahkan kepada Pendaftar Pertubuhan untuk diluluskan sebelum kita dapat melaksanakannya dan mula membuka pintu kepada orang bukan Islam untuk menjadi ahli parti Islam ini," kata Mujahid.
Mujahid berbangga, jika diluluskan nanti, PAS akan menjadi satu-satunya parti dan gerakan Islam di dunia ini yang mempunyai keahlian bukan Islam.Ketika ditanya, apakah cadangan beliau ini ada kaitan dengan apa yang dibuat oleh Tayyib Erdorgan di Turki dalam memperkasakan Parti AK, Mujahid berkata, tidak bahkan lebih dari itu.
Erdorgan telah melantik beberapa menterinya dari kalangan bukan Islam padahal di Turki penduduk Islamnya adalah 90 peratus berbanding di Malaysia hanya 55 peratus sahaja Islam.
"Jika 90 peratus Islampun boleh lantik orang bukan Islam sebagai calon dan pemimpin, apatah lagi kita di Malaysia," kata Mujahid.
Bagi beliau, sebelum diterima sebagai ahli, mereka perlu memahami PAS dengan mendalam terutama sekali dasar perjuangan PAS iaitu Islam.
Ke mana mereka selepas menjadi ahli dewan ini? Ini menjadi soalan panas yang sudah tentu ingin diketahui oleh ahli baru PAS ini selepas mereka menjadi ahli PAS.
"Pertama, sebagai ahli mereka bebas bergerak dalam PAS tetapi buat permulaan ini dalam sempadan dewan mereka. Mereka juga akan menjadi perwakilan dalam muktamar melalui dewan mereka.
"Mereka juga akan dipilih untuk mewakili PAS dalam pilihan raya umum akan datang. Kita akan pastikan ada di kalangan mereka dapat menjadi calon PAS untuk kawasan-kawasan tertentu. Kita harap ia akan berlaku mulai pilihan raya ke 13 nanti," beritahu Mujahid.
Di samping itu, katanya, beliau akan mencadangkan agar anggota dewan ini akan dilantik sebagai senator, anggota majlis kerajaan tempatan dan sebagainya.
"Dengan cara ini, mereka akan terasa mereka bukan dipergunakan oleh PAS tetapi menjadi sebahagian dari kita," kata beliau.
Ketika ditanya, oleh kerana naturenya mereka bukan anggota penuh PAS dan ada kecenderungan pihak-pihak tertentu untuk menyifatkan mereka sebagai ahli kelas dua dalam PAS, Mujahid menjelaskannya:-
"PAS ini sudah 50 tahun bergerak dan tidak ada orang bukan Islam menjadi ahlinya. Jika kita buka pintu untuk mereka menjadi ahli, ini satu perkembangan baik untuk PAS. Sudah tentu selepas ini, ia akan berkembang sesuai dengan perkembangan semasa. Kita tidak tahu ia berkembang ke mana. Jadi saya tidak fikir soal ahli kelas dua ini berbangkit," kata Mujahid.
Mujahid yakin, dengan masuknya orang bukan Islam ke dalam PAS ini akan melahirkan satu suasana perhubungan yang baru dalam masyarakat negara ini khasnya dalam PAS sendiri.Hubungan antara kaum tidak akan menjadi entnocentrik lagi tetapi akan menjadi multicentrik.
Apabila ini berlaku, tidak akan berlaku lagi soal perkauman dan racist di kalangan masyarakat dan perpaduan yang sebeginilah yang hendak dicapai, kata beliau.

Tiada ulasan: