Kawan-kawan setia

Ahad, 11 Januari 2009

Boikot barangan hiburan US, ada berani?

Memang betul bila diajak untuk kita bersatu dalam segala hal, semua orang setuju. Lebih-lebih lagi kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin sekarang memang tidak boleh diterima. Israel umpama dahagakan darah Palestin dengan berterusan membedil Gaza tanpa rasa bersalah, kesian dan rasa peri kemanusiaan. Ketika ini, sudah banyak persatuan pengguna memboikot barangan yang ada kaitan dengan Israel dan sekutunya terutama Amerika Syarikat (AS). Begitu juga dengan industri seni tanah air. Mereka juga sepatutnya melakukan perkara yang sama. Tapi mari kita tanya penggiat seni dan pengguna seni, ADA BERANI?... Bagaimana kalau boikot itu diperluaskan kepada program- program hiburan dari AS yang disiarkan di TV dan juga filem-filem Hollywood di pawagam? Ketika kebergantungan stesen televisyen tempatan kepada program luar khususnya AS sangat ketara. Begitu juga pengusaha pawagam tempatan yang mengautkan keuntungan daripada tayangan filem Hollywood. Menumpang semangat anti AS yang menjadi dalang serangan ke atas Palestin, stesen televisyen tempatan mesti mengurangkan program-program dari AS, sekiranya mustahil untuk memulaukan terus program tersebut. Setiap hari stesen televisyen menayangkan program-program dari luar terutama dari Hollywood. Sedar atau tidak, program ini sebahagian besarnya menyogokkan kita dengan propaganda terancang AS khususnya mengenai politik antarabangsa. Setiap hari kita dijamu dengan pelbagai rancangan TV terutamanya hiburan yang sedikit sebanyak telah membawa kita hanyut dari landasan yang hakiki. Tapi, masih ramai yang lena terus hanyut tanpa disedari umpama terkena dadah. Langkah memboikot produk AS terutamanya dalam bidang industri hiburan dilihat sebagai suatu yang ada kewajarannya. Cuma saya ingin tanya lagi ADA BERANI?. Ini sedikit sebanyak akan mengurangkan kemasukan produk Barat seterusnya membuka ruang lebih luas kepada produk tempatan untuk terus bertapak di negara ini. Bak kata pepatah, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Tidak ada gunanya untuk kita terus memberi ruang kepada produk-produk AS, jika karya tempatan tidak mendapat tempat di negara sendiri.

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Dr. Abu Hassan Hasbullah,
sudah tiba masa untuk kita memboikot segala muzik, drama, filem dan apa jua bentuk produk dari Barat khususnya AS. Tindakan yang dilakukan sebelum ini tidak holistik. Sudah tiba masanya untuk negara-negara Islam khususnya bersatu padu demi penduduk Palestin sekaligus memberikan ruang kepada karya anak tempatan. Satu pertiga pendapatan ekonomi AS datangnya daripada hiburan. Sebanyak dua pertiga pula daripada pendapatan hiburan tersebut diberikan kepada Israel. Jika kita masih menyokong industri hiburan Barat samalah seperti kita menyokong Israel. Sebenarnya masih banyak lagi karya- karya tempatan yang bermutu yang sepatutnya ditayangkan. Tetapi, oleh kerana peluang tersebut kurang, ia langsung tidak mendapat tempat. Sudah tiba masanya untuk kita menoleh ke negara-negara Islam seperti Iran, Jordan dan Lebanon yang mempunyai produk filem dan drama yang bermutu. Kalau ini dapat dilaksanakan dalam masa tiga bulan, sudah pasti ekonomi AS akan terjejas dan tindakan ini perlu dilakukan oleh seluruh negara Islam.

Datuk Yusof Haslam
Semua stesen televisyen dan orang ramai perlu bersatu dalam menangani isu ini. kecewa dengan apa yang berlaku dan berharap seluruh rakyat dapat melakukan sesuatu.
Kesemua program yang datang dari negara AS ini seharusnya diboikot atau setidak-tidaknya dikurangkan tayangannya. Ini bukan sahaja sebagai tanda protes terhadap kekejaman Israel, tetapi juga memberikan ruang yang cukup kepada karya tempatan. Kebanyakan filem-filem yang ditayangkan dari AS sememangnya mempunyai propaganda untuk melemahkan umat Islam. Ada sesetengah filem atau drama yang menggambarkan orang Islam adalah pengganas. Oleh itu, kita sebenarnya tidak perlu berkiblatkan negara Barat dan mengagung-agungkan karya mereka. Beri ruang yang cukup kepada karya rakyat sendiri dahulu," tegas Yussof. Kita perlu melihatnya dari perspektif yang lebih baik. Masih banyak lagi karya-karya negara-negara Asia yang lebih baik dan patut diberi perhatian yang lebih berbanding dengan karya AS. Siapa lagi yang hendak menyokong industri seni tempatan kalau tidak kita?.

Presiden, Persatuan Penerbitan Televisyen Malaysia (PPTVM), Jurey Latif,
sudah tiba masanya pihaknya mengambil langkah yang serupa untuk memboikot produk-produk keluaran negara Barat terutamanya yang berkaitan dengan program TV.
Di samping kita mengutuk kekejaman Israel terhadap Palestin, pihak PPTVM juga akan menghantar surat kepada semua stesen televisyen dan mahu ia dilaksanakan secepat mungkin. Lagipun kebanyakan program-program yang disajikan dari AS kadangkala mempunyai unsur propaganda yang keterlaluan lantas meracuni mentaliti kita.
Saya akan menyuarakan kebimbangan ini dan mahu ia diambil serius dan merasakan masih banyak lagi program- program televisyen tempatan yang boleh diketengahkan dan diberi perhatian oleh stesen televisyen.

Tiada ulasan: