Kawan-kawan setia

Isnin, 12 Januari 2009

Teruskan berdoa semoga hati-hati mereka mendapat petunjuk


Peningkatan kesedaran diperingkat antarabangsa tentang betapa jahatnya negara haram Israel memberi sedikit harapan kepada umat Islam di Palestin untuk terus dibela. Penduduk Eropah, Afrika diberitakan meningkatkan sokongan membantah tindakan kejam Yahudi Israel. Beribu penduduk mengadakan tunjuk perasaan di bandar raya seluruh Eropah, Afrika Utara dan Asia Barat kelmarin, dengan melaungkan bantahan terhadap serangan Israel di Gaza. Penunjuk perasaan membakar bendera Israel di Sweden dan membaling kasut ke arah konsulat Amerika Syarikat di Edinburgh, Scotland.

Di Jerman, kira-kira 8,500 orang berkumpul di Alexanderplatz di Berlin dan kemudian berarak ke stesen kereta api utama bandar raya itu sambil melaungkan slogan ‘Israel dan Amerika Syarikat: Intifada kembali’ dan ‘Israel membiarkan darah mengalir serta ‘Israel menembak penduduk tidak berdosa’. Beratus-ratus polis ditempatkan di sepanjang laluan demonstrasi di Berlin dan beberapa bendera Hamas dirampas daripada penunjuk perasaan.

Di Austria juga beribu-ribu penunjuk perasaan membawa kain rentang tertera ‘Kebebasan untuk Palestin’ dan ‘Hentikan Keganasan Israel’.

Seramai 12,000 penduduk berkumpul di Hyde Park di London dengan membawa sepanduk bertulis ‘Gaza: Hentikan Pembunuhan Beramai-ramai’ dan melaungkan ‘bebas, bebas Palestin’.

Di tengah London, tiga pegawai polis cedera apabila penunjuk perasaan membaling kasut dan sepanduk ke arah polis di luar Kedutaan Israel. Seorang pegawai pengsan dalam kejadian itu.

Di Perancis, kebanyakannya di Paris, Polis berkata, 5,000 hingga 10,000 orang mengadakan tunjuk perasaan di Lyon, sehingga 4,500 di Marseille dan 3,500 di Grenoble di kaki gunung Alps. Pihak berkuasa juga menganggarkan 30,000 orang mengambil bahagian dalam bantahan di Barcelona, sebahagiannya membawa selimut berlumuran darah dan patung mayat kanak-kanak.

Di Sepanyol, tunjuk perasaan diadakan oleh kira-kira 300 kumpulan Catalan yang meminta kerajaan Sepanyol menyokong inisiatif gencatan senjata dan menghentikan semua perdagangan, terutama senjata, dengan Israel.

Di Itali, beribu-ribu penduduk yang membawa bendera Palestin berarak di Milan, Florence dan Venice untuk membantah serangan Israel. Di Milan, penunjuk perasaan membakar kain putih yang dihiasi lambang Star of David, dan sesetengah peserta membawa poster bendera Israel dan lambang swastika di atasnya.

laporan agensi berita ANSA.

Tiada ulasan: