Kawan-kawan setia

Sabtu, 21 Mac 2009

Awas serangan media menjelang PRK April

Makkal Sakthi beri Anwar kata dua tukar calon (Laporan MStar)
Gerakan Makkal Sakthi hari ini memberi kata dua kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim agar meletakkan calon lain Pakatan Rakyat, bukannya S. Manikumar yang diumumkan, mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.
Penyelaras kumpulan Hindraf yang telah diharamkan, S Thanenthiran berkata, Makkal Sakthi memberi tempoh sehingga esok kepada Anwar, yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat, agar mengubah keputusan beliau yang diumumkan semalam.
"Kami tidak bersetuju dengan pemilihan calon Pakatan Rakyat semalam, masih ada masa untuk mengubah keputusan dan saya juga telah mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak di Bukit Selambau semalam dan hari ini.
"Ramai tidak kenal siapa dia Manikumar (calon Pakatan Rakyat)... kami berharap Anwar akan mempertimbangkan pandangan kami ini dan meletakkan calon lain," kata beliau ketika dihubungi mStar Online.
Makkal Sakthi sebelum itu telah menyenaraikan tiga calon yang dicadangkan oleh Hindraf untuk dipertimbangkan bagi mewakili PKR bagi pilihan raya kecil itu iaitu Thanenthiran sendiri, peguam R Surendran atau tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Vasantha Kumar.
Thanenthiran memberitahu, pihaknya turut mempunyai bukti mengapa Manikumar tidak sesuai sebagai calon Pakatan Rakyat bagi kawasan tersebut.
Kata beliau, pihaknya akan mengumumkan pendirian mereka jika Anwar enggan menerima pandangan itu dan masih mahu meletakkan Manikumar.
Ketika ditanya apakah tindakan mereka, beliau hanya berkata, "tunggu sehingga Isnin ini kami akan mengumumkan."
Thanenthiran berkata, Anwar juga tidak harus melupakan sokongan Makkal Sakthi kepada parti itu dalam pilihan raya umum yang lalu.
Semalam Pakatan Rakyat mengumumkan bahawa pihaknya akan meletakkan seorang usahawan, S. Manikumar sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau pada 7 April ini.
Manikumar, 35, seorang anggota biasa PKR sejak dua tahun lalu, merupakan graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam bidang Pengurusan Pelancongan sebelum mendapat Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada universiti yang sama.Anggota PKR bahagian Merbok itu berasal dari Taman Ria Jaya di sini, menjadi pensyarah sambilan di UUM serta fasih berbahasa Sepanyol selain bahasa Melayu, Inggeris dan Tamil.
Anwar berkata, pemilihan Manikumar dibuat setelah mendapat persetujuan serta restu daripada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, V. Arumugam di samping mengambil kira pandangan penduduk.
Ketika pengumuman itu dibuat semalam sekumpulan penyokong PKR yang turut berada di tempat pengumuman, membantah keputusan pemilihan Manikumar sebagai calon parti itu pada pilihan raya kecil tersebut.
Kumpulan tersebut juga mendakwa, penyokong PKR di Bukit Selambau tidak mengenali Manikumar kerana beliau hanyalah anggota biasa dan tidak aktif dalam parti tersebut selain mahukan calon yang lebih berpengalaman.
Difahamkan, sebagai tanda bantahan beberapa bilik gerakan PKR di kawasan DUN Bukit Selambau akan ditutup.
Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran peletakan jawatan penyandangnya Arumugam daripada PKR pada Februari lepas dan hari penamaan calon ditetapkan pada 29 Mac.
Sementara itu, Anwar pada hari ini berkata, tentangan sebilangan penyokong terhadap pemilihan Manikumar hanya diperbesar-besarkan oleh media.
"Mana kita boleh dapat calon yang 100 peratus tidak diprotes.
"Bezanya, kalau calon itu daripada Pakatan Rakyat, protes itu diperbesarkan media, Umno dan BN (Barisan Nasional).
"Kalau calon itu dari MIC, protes itu tidak dilaporkan. Itu bezanya," katanya kepada media selepas merasmikan Pusat Khidmat Rakyat ADUN Seri Setia dan Penyerahan Borang Keahlian PKR yang baru di sini, hari ini.
Anwar berkata, beliau telah berjumpa dengan kebanyakan calon yang disenaraikan semalam dan kesemua mereka menyatakan sokongan dan komitmen kepada pilihan PKR itu.
"Semalam, saya jelaskan, mereka semua layak dan saya minta mereka semua beri kerjasama kepada parti.
"Kita telah pertimbangkan kelayakan, komitmen yang ada, menetap di Sungai Petani, penguasaan dan ilmu yang ada.
"Komitmen daripada mereka itu baik tapi mungkin ada di kalangan penyokong itu (yang membantah) tapi tidak mengapa, ia akan reda," katanya.
Ditanya berhubung Hindraf yang mahu meletakkan calon Bebas bagi mewakili mereka kerana dikatakan tidak bersetuju dengan calon PKR, Anwar berkata, beliau tidak tahu tentang hal itu tetapi beliau mempunyai hubungan yang baik dengan kepimpinan Hindraf.
"Mereka kena fikir kepentingan masyarakat India dan Hindu seluruhnya, bukan kepentingan satu atau dua orang," katanya.
Katanya, beliau percaya, hal itu juga tidak menjejaskan peluang kemenangan PKR di kawasan itu kerana calon yang diketengahkan adalah calon parti yang mewakili semua kaum.
Pada majlis itu, PKR turut menerima kemasukan 500 ahli baru yang dikatakan bekas ahli MIC.

Tiada ulasan: