Kawan-kawan setia

Sabtu, 21 Mac 2009

Penyakit masyarakat

Media perdana hari ini melaporkan pihak polis berjaya menyelamatkan 39 wanita muda warga asing yang dibawa masuk ke negara ini yang ditipu dan dipaksa menjadi pekerja seks (pelacur), sejak Oktober. Modus operandi petualang masyarakat ini ialah mangsa kebiasaannya diperdayakan dengan pelbagai janji manis menggunung kononnya mereka mempunyai peluang pekerjaan dan masa depan yang cerah jika mengikut mereka, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya sebaik sahaja wanita itu menjejakkan kaki di Malaysia. Kesemua mangsa bukan saja tidak diberi makanan yang sepatutnya malah dikurung dan dipukul oleh anggota sindiket yang mengeksploitasi mereka. Mereka yang diperdayakan untuk menjadi mangsa sindiket itu berusia antara 18 hingga 25 tahun dan memasuki Malaysia secara sah tetapi mangsa kemudiannya dijual kepada sindiket-sindiket tertentu yang dipercayai untuk menjadi pekerja seks.
Kisah perdagangan manusia untuk dijadikan pemuas nafsu sesetengah anggota masyarakat yang berpenyakit ini sudah berlaku zaman berzaman dan hingga sekarang masih membarah. Bila ada pekerja seks alias pelacur ini maka tentulah ada pelanggannya. Menangkap dan menghukum pelacur semata-mata dan membiarkan pelanggan berkeliaran tidak akan mengubat penyakit mungkar ini. Menghapuskan perzinaan (dengan apa cara sekalipun) semestinya menjadi keutamaan dalam agenda negara sehingga tiada lagi wujud. Jalan-jalan menuju kepada terangsangnya nafsu yang menuju kepada perzinaan juga mesti dihapuskan. AlQuraan dengan jelas telah menggariskan panduan kepada manusia "Jangan mendekati arah yang menuju perzinaan kerana perbuatan itu adalah amat buruk". Kalau kita buka hati nurani dan fikiran yang bersih kita lihat disekeliling, kita dapati ianya dipenuhi dengan hidangan jalan-jalan menuju perzinaan namun ianya tidak dianggap 'fahisyah" bahkan digalakkkan oleh sesetengah kumpulan. Anak muda dibiarkan bergaul bebas, berpakaian menyalahi etika iman, seksi dan menggoda kepada perzinaan, minuman keras dijual dan dipromosikan tanpa halangan, majalah-majalah lucah dan semi lucah menjadi hidangan muda mudi saban hari, program TV yang diimpot dari Brazil, hollywood atau tempatan dipenuhi senario mungkar, internet tak payah cerita lagi - masukkan saja carian berlambak akan keluar untuk dilayari tanpa had....

Tiada ulasan: