Kawan-kawan setia

Sabtu, 11 April 2009

UFO, bersaiz bulat, bewarna putih dikelilingi hijau....?

Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan meneliti rakaman video pergerakan beberapa objek bercahaya hijau dan putih di ruang udara Larkin, Johor Bahru, yang didakwa penduduk sebagai pesawat makhluk asing atau Objek Terbang Tidak Dikenali (UFO). Jurucakapnya berkata, DCA sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi memastikan kesahihan dakwaan itu. "Setakat ini, DCA tidak menerima sebarang laporan rasmi mengenai kewujudan UFO di ruang udara Larkin, Johor Bahru. "Radar yang ditempatkan di Johor dengan keupayaan mengesan objek dalam lingkungan 80 kilometer persegi juga tidak mengesan sebarang pesawat atau objek terbang melintasi ruang udara itu pada hari UFO berkenaan dilaporkan dilihat," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam. Beliau juga menafikan kemungkinan objek itu adalah pesawat peninjau tanpa pemandu (UAV) negara jiran yang menceroboh ruang udara negara ini. "Saya tidak fikir ia UAV kerana radar kita mampu mengesan objek di udara yang saiznya enam meter panjang atau lebar. Kita boleh tahu jika ada pesawat negara jiran yang menceroboh ruang udara kita," katanya.
Kelmarin, seorang pengurus perhubungan awam sebuah institusi pengajian tinggi, Zaid Zain, 43, serta adiknya, Zamri, 30, mendakwa melihat beberapa objek bercahaya hijau dan putih itu berlegar-legar di ruang udara Larkin sejak dua bulan lalu hingga menggemparkan penduduk di situ. Zaid berkata, pada awalnya objek itu disangka cahaya bintang, tetapi selang beberapa hari kemudian ia kembali dengan dua tompokan cahaya yang saling bergerak ke kanan dan ke kiri dalam keadaan mendatar. Sementara itu, Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Dr Mustafa Din Subari, berkata pihaknya sedia meninjau lokasi objek bercahaya itu dilihat tetapi setakat ini tiada kajian khusus dibuat mengenai kewujudan UFO di negara ini. "Kita juga tidak mempunyai unit khas untuk mengkajinya. Kita cuma membuat tinjauan apabila ada laporan diterima.
"Biasanya, jika objek berkenaan mendatang kesan negatif kepada penduduk seperti radiasi, kita akan turun padang untuk menemubual saksi dan mengkaji objek terbabit," katanya. Beliau berkata, laporan mengenai kewujudan UFO juga pernah dilaporkan di beberapa tempat di negara ini, tetapi kesahihannya tidak dapat dipastikan kerana kekurangan bukti atau saksi. "UFO yang dilihat itu juga mungkin cahaya lampu limpah berkuasa tinggi yang dipancarkan ke langit dari kawasan hiburan atau tanglung yang dilepas ke udara," katanya.