Kawan-kawan setia

Khamis, 23 Julai 2009

Hukuman dunia

Laporan MSTAR semalam memaparkan seorang peragawati sambilan yang dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan selepas mengaku bersalah meminum arak, memohon supaya mahkamah mempercepatkan hukuman sebatan itu supaya dia boleh menumpukan masa depan hidup bersama-sama keluarganya. Kartika Sari Dewi Shukarnor, turut melahirkan rasa kesal terhadap dirinya serta reda dengan ketentuan Allah. "saya ingin memohon supaya mahkamah mempercepatkan hukuman sebatan itu. Saya sangat hormati keputusan mahkamah. Saya mengaku itu memang kesalahan saya, bukan kesalahan orang lain, bukan kesalahan ibu bapa saya, bukan kesalahan keluarga saya," katanya sambil menitiskan air mata ketika ditemui pemberita di sini hari ini. Ibu kepada dua anak berusia tujuh dan lima tahun itu juga berkata suaminya telah maklum perkara itu dan sangat menghormati keputusannya yang mahu agar hukuman sebatan itu dipercepatkan. "Dari apa yang terjadi kepada saya, saya ingin berpesan kepada anak muda supaya jangan melakukan perkara yang menjatuhkan maruah diri sendiri, keluarga dan ibu bapa," katanya. Ayahnya, Shukarnor Mutalib, 60, berkata hukuman yang dikenakan terhadap anaknya itu adalah wajar dan tepat dengan menetapi undang-undang agama Islam di negara ini. Beliau juga mengakui itu adalah kesalahan anaknya yang dijaga dan diberi pendidikan agama secukupnya termasuk pengajian sistem pondok. Shukarnor berkata peristiwa itu memberi pengajaran yang sangat berguna kepada Kartika Sari Dewi kerana perjalanan hidup pada zaman sekarang penuh dengan cabaran dan dugaan.