Kawan-kawan setia

Khamis, 3 September 2009

Gempa bumi

Macam-macam kejadian berlaku pada Ramadhan ini, kes kepala lembu, sidang DUN yang dinafikan, kes perbicaraan DS Anwar dan yang menyedihkan ialah kejadian gempabumi di Jawa. Ia berlaku beberapa jam sebelum umat Islam berbuka puasa, gempa yang telah menggegarkan Pulau Jawa yang menyebabkan lebih 33 orang maut akibat dihempap runtuhan batu atau bangunan manakala beribu-ribu orang awam bertempiaran lari ke kawasan lapang. Dipercayai gempa bumi itu berpusat dekat bandar Tasik Malaya dan Bandung yang mempunyai banyak universiti. Hospital-hospital penuh sesak dengan mangsa yang cedera akibat gempa bermagnitud 7.0 pada skala Richter itu. Pegawai-pegawai bencana alam berkata, ratusan buah rumah dan bangunan runtuh atau rosak teruk di tiga daerah di Jawa Barat yang sarat dengan penduduk. Agensi berita Antara melaporkan kematian terburuk berlaku di sebuah perkampungan di daerah Cianjur, 120 kilometer ke barat daya Jakarta di mana kira-kira 30 orang dipercayai masih terperangkap di bawah timbunan batu dan bangunan. Sebanyak 12 keluarga atau kira-kira 30 orang terperangkap dalam beberapa buah rumah yang ditimbus tanah runtuh di kampung Rawa Hideung, daerah Cianjur. Gempa bumi itu menggegarkan hampir separuh Pulau Jawa manakala di Jakarta, 190 kilometer dari pusat gempa, bencana itu membuatkan bangunan-bangunan tinggi bergoyang. Bimbang nyawa mereka terancam, ramai pekerja pejabat di ibu kota Indonesia itu bertempiaran lari ke jalan-jalan raya untuk menyelamatkan diri. Seorang pegawai kesihatan berkata, sekurang-kurangnya 27 orang cedera di Jakarta. Selain ibu kota berkenaan, gempa itu turut dirasakan di Surabaya iaitu bandar raya kedua terbesar di Indonesia selain di pulau peranginan Bali.