Kawan-kawan setia

Isnin, 11 Januari 2010

Hisham: PAS dan Pakatan perlu bertaubat?

Pembangkang diminta supaya bertaubat kerana sanggup memperjudikan kestabilan dan kemerdekaan negara dengan menjadikan isu kalimah Allah serta kejadian serangan ke atas gereja sebagai modal meraih sokongan politik walaupun sedar perkara itu boleh menyemarakkan api perkauman.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan pembangkang mengeskploitasikan isu itu sangat tidak bertanggungjawab kerana ia boleh meruntuhkan keharmonian dan kestabilan yang dinikmati sejak merdeka.
"Kalau pun hendak berpolitik, berpolitiklah dengan cara bertanggungjawab dan bukannya mengeksploitasi isu sensitif seperti ini. Saya menyeru kepada mereka (pembangkang) bertaubatlah kerana kesan daripada perbuatan ini sangat besar.
"Menuding jari mengatakan UMNO yang sengaja menimbulkan isu adalah satu tuduhan jahat kerana adalah tidak masuk akal kita hendak menghancurkan kestabilan yang telah dibina sekian lama oleh kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan ceramah pendidikan sempena program UMNO Juara Rakyat, di sini hari ini.
Hishammuddin mengulas tindakan pembangkang yang sejak bermulanya isu bantahan penggunaan kalimah Allah sehinggalah serangan gereja secara berterusan menuduh bahawa, kemelut yang timbul itu kononnya angkara UMNO
Katanya, kepentingan negara mesti didahulukan berbanding kelangsungan politik kerana tiada makna kejayaan membentuk kerajaan baru jika keadaan rakyat dan negara kucar-kacir.
Menurut beliau, pertimbangan itulah yang menjadi asas kepada kerajaan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan seluruh anggota Kabinet mengutuk sekeras-kerasnya serangan terhadap beberapa gereja di Selangor dan Perak.
"Bukan sekadar mengutuk tetapi Perdana Menteri sendiri turun padang melihat kesan serangan, malah, dengan segera meluluskan peruntukkan RM500,000 bagi membaiki semula rumah ibadat yang rosak," katanya.
Mengulas lanjut, Hishammuddin kemudiannya melahirkan perasaan kecewa dengan sikap pembangkang yang gemar mempolitikkan semua isu asalkan ia memberi kepentingan kepada mereka.
Katanya, tiada gunanya menjadi kerajaan jika rakyat dan negara berada dalam keadaan kacau-bilau, malah, tegasnya, penyesalan pada masa itu sudah terlambat dan tidak berguna lagi.
Sementara itu, Hishammuddin memberi jaminan bahawa keadaan keselamatan negara terjamin wgalaupun berlaku beberapa insiden serangan di gereja dan surau.
Jelasnya, pihak keselamatan telah mengambil semua langkah yang perlu bagi memastikan kestabilan negara tidak terancam.
"Laporan media asing yang menggambarkan negara ini berada dalam keadaan meruncingkan adalah tidak benar kerana insiden serangan yang berlaku adalah kecil.
"Buktinya hari ini apabila rakyat pelbagai lapisan agama dan kaum boleh duduk bersama bagi menjayakan program UMNO Juara Rakyat," katanya