Kawan-kawan setia

Sabtu, 9 Januari 2010

Sabotaj terhadap keharmonian negara

(Foto: YB Salahuddin Ayob bersama Dr Zulkifli ketika melawat gereja yang dibom)
Datuk Seri Najib Tun Razak mengutuk dua kejadian serangan ke atas gereja dan satu laporan kes ugutan semalam yang dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, dipercayai ekoran isu kalimah Allah. Tegas Perdana Menteri, perbuatan terkutuk itu akan menghancurkan keharmonian yang selama ini dinikmati oleh seluruh rakyat negara ini. Serentak itu, beliau mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memastikan pihak berkuasa meningkatkan kawalan terhadap rumah-rumah ibadat termasuk gereja.
“Kepelbagaian agama sebagai satu amalan hidup yang kita saling hormat menghormati antara satu sama lain tidak boleh digugat oleh sesiapa.
“Kerajaan akan mengambil apa jua tindakan yang mampu dilakukan untuk mencegah perbuatan seperti itu,” katanya. Perdana Menteri mengulas dua kejadian membakar gereja dengan sengaja di Lembah Klang pada awal pagi ini. Dua buah gereja terbabit ialah Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dan Gereja The Assumption di Jalan Templer, Petaling Jaya. Laporan media menyebut, sekumpulan pemuda membaling bahan-bahan mudah terbakar ke arah tingkat bawah gereja The Metro Tabernacle yang terletak pada sebuah lot kedai dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam itu. Sementara itu, pada pukul 4 pagi, bom petrol dilaporkan dilontarkan ke gereja The Assumption namun tiada kerosakan berlaku.