Kawan-kawan setia

Jumaat, 10 September 2010

MAJLIS HARI RAYA ANAK KELANTAN DI PERANTAUAN

Kerajaan Kelantan melalui Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Persatuan Anak Kelantan di Perantauan (Perakan) akan mengadakan Majlis Hari Raya Bersama Menteri Besar dan Pimpinan Kerajaan bertempat di Dewan Konvesyen Pusat Dagangan Kelantan (KTC) pada hari raya kedua bermula jam 8.00 malam.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi negeri, Dr.Muhammad Fadzli Hassan, program tahunan tersebut adalah merupakan satu cara kerajaan negeri untuk bersama anak Kelantan yang berada di perantauan.

Melalui program itu juga, katanya anak Kelantan dapat mengambil maklumat perkembangan semasa negeri secara terus dengan berjumpa pegawai kerajaan maupun wakil rakyat mereka, kerana pada malam tersebut wakil-wakil rakyat dari seluruh negeri akan hadir yang memudahkan pertemuan sesama mereka.

Beliau berkata demikian ketika berucap meraikan para petugas media dan kakitangan Urusetia Kerajaan Negeri di majlis berbuka puasa malam tadi bertempat di JKR 10.

Muhammad Fadzli juga berkata seperti kebiasaannya, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangka akan menyampaikan amanat kepada hadirin yang dianggarkan lebih 2,000 akan hadir pada malam tersebut.

“ Tahun ini kita akan adakan di KTC seperti tahun lepas dan sambutan amat menggalakkan, saya juga berharap orang ramai dapat datang awal bagi memudahkan urusan pendaftaran masuk dan mereka dikehendaki mengisi borang kemas kini alamat surat menyurat di negeri tempat mereka berada agar mudah dihubungi pada tahun hadapan pula,” katanya lagi.

Tiada ulasan: