Kawan-kawan setia

Khamis, 4 Ogos 2011

SPR oh SPR.......

PAS Selangor mengenal pasti 610 nama berstatus Penduduk Tetap (PR) yang didaftarkan dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) di empat Dun. Menurut Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman, seramai 225 pengundi yang mempunyai kad pengenalan merah dikesan di Dun Paya Jaras, 261 orang di Dun Semenyeh, 140 orang di Dun Kajang dan 49 orang di Dun Dusun Tua. Ianya sebahagian nama yang dikesan dalam proses bantahan bagi RDPT bagi suku ke-2 2011 Julai lalu.
Tegasnya, Jabatan Pilihan Raya PAS Selangor mempunyai bukti mengenai dakwaan itu.
"Untuk kepastian, PAS Selangor telah merujuk kepada laman rasmi Jabatan Pendaftaran Negara untuk rekod. Kita khuatir jumlah tersebut akan bertambah. "Kita ada bukti bercetak bahawa nama-nama mereka yang diklasifikasikan sebagai PR yang dicetak dari laman web JPN sebagai kad pengenalan merah,"kata beliau dalam kenyataan yang diedarkan kepada pemberita selepas sidang media Pakatan Rakyat berhubung perkara sama di pejabat Pakatan Rakyat, dekat sini hari ini.
Namun apa yang memeranjatkan apabila sehari selepas dikesan, mereka mendapati rekod kerakyatan mereka yang dikenal pasti sebagai PR telah bertukar menjadi warganegara dan bertukar kepada kad pengenalan biru.
"Bagaimana ia boleh berlaku, Bukankah JPN memerlukan cap jari seseorang itu sebelum menyerahkan kad pengenalan atau apa-apa dokumen yang diserahkan kepada pemohon? soalnya.
Selain itu PAS selangor juga mempunyai bukti yang menunjukkan bagaimana seorang rakyat Malaysia yang lahir tahun 1984 telah dikatakan memiliki kad pengenalan biru yang membawa kod 71 iaitu penduduk teap kelahiran luar negara.
"Jika dia dilahirkan di Malaysia, sudah tentu kod yang tertera di kad pengenalan adalah kod negeri kelahiran.
"Jika betul dia dilahirkan di luar Malaysia, kenapa dia memiliki keistimewaan sehingga memiliki kad pengenalan biru di usia seawal 27 tahun?" soalnya lagi.
Beliau berkata, perkara ini sangat membimbangkan kerana jelas merupakan tindakan penipuan oleh mereka yang mempunyai akses kepada rekod di JPN.
Sehubungan itu PAS Selangor mendesak Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat perkara membabitkan keselamatan negara ini.
"PAS Selangor mendesak pihak yang terlibat dalam perkara ini diambil tindakan undang-undang," katanya.