Harian Metro dan Kosmo melaporkan kejadian dua kanak-kanak untuk menyaksikan gelagat haiwan liar di
Zoo Melaka berakhir dengan dua mangsa itu melalui pengalaman ngeri
digigit seekor siamang jantan yang ganas kelmarin. Dua mangsa yang cedera dalam kejadian pada pukul 2.30 petang itu
ialah Muhammad Afiq Haziq Kamarul, 3, berasal dari Klang, Selangor dan
Zukrina Abdul Hadi, 5, dari Pekan, Pahang.Sebelum kejadian, kedua-dua mangsa itu berjalan bersama keluarga
masing-masing berhampiran beberapa buah pulau buatan yang menjadi
habitat siamang dan beberapa haiwan dalam kumpulan beruk lain.
Mengimbau detik cemas tersebut, ibu kepada Afiq, Anita Sulaiman, 36,
berkata, dia dan suami, Kamarul Baharin, 38, serta tujuh anak termasuk
Afiq, anak keenam, tiba di zoo itu pada pukul 1.30 petang.
Sejam selepas berjalan, mereka sekeluarga tiba di kawasan pulau buatan.
"Sedang kami leka meninjau spesies beruk di beberapa pulau, tiba-tiba
saya nampak kira-kira 40 pengunjung bertempiaran lari kerana dikejar
seekor siamang.
"Siamang sebesar Afiq itu datang menggigit betis kanannya yang ketika
itu didukung oleh suami saya," katanya ketika ditemui di Hospital
Melaka semalam.
Menurut Anita, suaminya bertindak menarik bulu dan menggoncang kepala siamang itu bagi melepaskan gigitan pada kaki Afiq. Namun siamang itu enggan melepaskan gigitan itu sehinggalah seorang pengunjung menendang perut haiwan itu.

0 comments:
Catat Ulasan