Kawan-kawan setia

Isnin, 24 Mac 2014

Berakhir di Lautan Hindi

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan bahawa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu terhempas di selatan Lautan Hindi di barat Perth, Australia.

Beliau yang bercakap dalam sidang media berkata, berdasarkan analisis baru, Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) telah menyimpulkan bahawa pesawat MH370 telah terbang di sepanjang Koridor Selatan, di tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia. "Menggunakan sejenis analisis tidak pernah digunakan sebelum ini, mereka telah dapat mengesan laluan penerbangan terakhir MH370. Kedudukan itu jauh dari mana-mana lokasi pendaratan.

"Dengan duka cita saya perlu memberitahu anda bahawa menerusi perkembangan terbaharu ini, pesawat MH370 ‘berakhir’ di selatan Lautan Hindi," katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Penerbangan MH370 yang menggunakan pesawat Boeing 777, hilang dari radar Malaysia pada pukul 1.30 pagi 8 Mac selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Beijing. Pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

(Petikan MStar Online)

Tiada ulasan: