Kawan-kawan setia

Khamis, 27 Mac 2014

Pemrentah Sarawak perlu berani

Trend menghalang pemimpin Pakatan Rakyat (PR) hadir ke Sarawak semakin ketara sejak akhir-akhir ini dengan beberapa tindakan yang dilakukan. Ia semakin menjadi-jadi dengan Pilihanraya Kecil DUN Balingian manakala dijangkakan Sarawak akan mengadakan Pilihanraya Negeri pada tahun hadapan.
Bulan lepas saudara Mazlan Aliman, Pemimpin PAS Pusat yang juga Presiden Anak-Anak Peneroka Felda (ANAK) dihalang hadir ke Sarawak dan kali ini beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Setiauaha Agung PKR Dato’ Saifuddin Nasutioan, Naib Presiden PKR Tian Chua dan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli menjadi mangsa. Mungkin ramai lagi menjadi senarai menunggu pemimpin PR yang dihalang masuk ke Sarawak, mereka ini umpama penjenayah besar yang akan merosakkan keamanan negeri itu.
Tindakan ini adalah suatu yang tidak munasabah, tidak rasional dan tidak boleh diterima akal. Dalam sebuah negara demokrasi, seseorang pemimpin (malah Ahli Parlimen) dihalang masuk ke sebuah negeri dalam negara sendiri dalam keadaan tiada alasan yang kukuh diberikan. Tanpa rekod jenayah, malah mempunyai rekod baik menjadi Ahli Parlimen juga bukan tiket melayakkan mereka menjejakkan kaki ke bumi itu. Sepatutnya, jika ada kesalahan pada mereka, tunjukkan kesalahan tersebut dan jangan berselindung disebalik kuasa politik bagi menghalalkan tindakan pemerintah.
Masyarakat melihat tindakan ini sebagai usaha terdesak golongan elit penguasa yang takutkan kemaraan rakyat. Ia adalah ‘political desperado’ yang bertujuan memastikan masyarakat tempatan tidak menerima kehadiran tetamu-pemimpin parti politik ini, apatah lagi mendengar hujah dan maklumat terkini mengenai isu-isu semasa. Mungkin yang paling dibimbangkan sekiranya rakyat Sarawak bangun menentang kebobrokan dan penyelewengan pemerintah Sarawak yang selama ini disembunyikan daripada pengetahuan rakyat. Sebenarnya tindakan menghalang ini menjadikan rakyat semakin muak dan benci dengan penguasa yang angkuh dan sombong dengan kuasa yang mereka miliki.
Kerajaan Malaysia perlu bertegas memastikan tidak ada lagi layanan kelas kedua atau ketiga terhadap pemimpin PR dalam negaranya sendiri. Perdana Menteri perlu menegur Ketua Menteri Sarawak terhadap polisi berat sebelah dan begitu bermotif dendam ini, agar bersikap lunak dan adil dalam melayani mana-mana pemimpin PR. Pemimpin PR juga adalah manusia, pemimpin parti politik yang sah, Ahli Parlimen dan mereka bersama-sama menyumbang terhadap pembangunan negara.
Sarawak adalah sebuah negeri dalam Malaysia, dan tidak seharusnya meletakkan syarat yang ‘pelik’ buat mana-mana individu atau tokoh mengunjungi negerinya. Kedegilan pemerintah Sarawak bersikap profesional terhadap pemimpin PR dengan terus menghalang mereka, akan mempercepatkan nyawa dan hayat BN Sarawak di penghujungnya. Ibarat air sungai yang melangkah deras menuruni lereng bukit, usah di sekat, kerana sekatan itu akan menyebabkan ia dirempuh dengan lebih ganas dan membuak-buak pada akhirnya. Kebenaran usah disekat, kerana kebenaran adalah kehendak naluri manusiawi. Menyekat kebenaran akan memusnahkan kebatilan itu akhirnya jika tidak dalam masa yang singkat.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat

Tiada ulasan: